Masters Kumamoto: Wei Chong-Kai Wun Kalah Mengejut Di Pusingan 32

November 11, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki negara yang menghuni ranking kelima dunia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun tersingkir seawal pusingan 32 di Masters Kumamoto Jepun 2025 yang membuka tirainya pada hari ini.

Biarpun turun dengan label pilihan ketiga kejohanan, Wei Chong-Kai Wun tewas mengejut di tangan beregu tuan rumah yang berada di ranking ke-30 dunia, Hiroki Midorikawa dan Kyohei Yamashita, sebentar tadi.

Bukan itu sahaja, Wei Chong-Kai Wun juga mengalami kekalahan menerusi dua set berturut-turut menerusi skor 19-21 dan 18-21 dalam masa 35 minit.

Keputusan itu sekaligus menjadi episod balas dendam Midorikawa-Yamashita selepas tewas di tangan Wei Chong-Kai Wun ketika bertemu buat julung kalinya di Masters Malaysia 2025 sekitar penghujung Mei lalu.

Sementara itu, Midorikawa-Yamashita yang mara ke pusingan 16 akan menantikan saingan samada daripada sepasang lagi beregu Malaysia, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi atau beregu Chinese Taipei, Chen Zhi Ray dan Lin Yu Chieh.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd