Tang Jie-Ee Wei Kembali Warnai Saingan Super 500
Hafiz Omar

Juara kejohanan dunia merangkap beregu campuran No.1 negara, Cheng Tang Jie dan Toh Ee Wei kembali mewarnai saingan Jelajah Dunia BWF Super 500.
Ini selepas nama kedua-dua pemain berusia 27 dan 25 tahun masing-masing itu tersenarai dalam laman rasmi kejohanan Terbuka Australia 2025 selain turut diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan.
Undian yang berlangsung pada hari ini turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei bakal memulakan kempennya di pusingan 32 dengan menentang beregu senegara, Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien.
Untuk makluman semua, Terbuka Australia 2025 itu dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan – bermula 18hb dan berakhir pada 23hb November.
Menurut laman sesawang kejohanan, Tang Jie-Ee Wei sepatutnya turut beraksi di Masters Kumamoto Jepun 2025 yang bermula pada hari ini namun pasangan itu menarik diri.
Selepas merangkul kejuaraan yang penuh bersejarah di Kejohanan Dunia BWF pada hujung Ogos lalu, menurut laporan media tempatan, ketua jurulatih beregu kebangsaan, Nova Widianto memaklumkan Tang Jie-Ee Wei akan memberikan tumpuan kepada kejohanan Super 750 dan Super 1000 sahaja.
Hal ini kerana pasangan terbabit telah mengesahkan tiket ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 yang akan berlangsung bermula 17hb hingga 21hb Disember kelak di Hangzhou, China.
Featured Image: BAM