Masters Kumamoto: Pilihan Keempat Soon Huat-Shevon Kandas Pusingan 32
Hafiz Omar

Beregu campuran negara yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai terpaksa akur beraksi hanya satu perlawanan sahaja di Masters Kumamoto Jepun 2025 selepas tewas mengejut di tangan wakil tuan rumah pada pusingan 32.
Dalam pertarungan itu, lawannya, Yuichi Shimogami dan Sayaka Hobara yang berada di tangga ke-21 dunia berhasil mengejutkan Soon Huat-Shevon secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-17 dan 21-13 dalam masa 38 minit.
Keputusan itu sekaligus menyingkirkan Soon Huat-Shevon yang juga merupakan semifinalis edisi lalu daripada Jelajah Dunia BWF Super 500 ini.
Pada masa yang sama, kemenangan itu menjadikan rekod pertemuan melibatkan Soon Huat-Shevon dan Shimogami-Hobara seimbang dengan satu kemenangan masing-masing selepas mereka tewas pada pertemuan sulung di Terbuka Denmark 2025 sekitar pertengahan bulan lalu.
Sementara itu, Shimogami-Hobara yang mencetak kemenangan dapat meneruskan kempennya ke pusingan 16.
Mereka akan menantikan cabaran samada daripada sepasang lagi beregu negara, Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien atau beregu Chinese Taipei, Liu Kuang Heng dan Jheng Yu Chieh.
Featured Image: BAM