Bintang Bola Sepak UAE, Omar Abdulrahman Umum Persaraan

November 12, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Bintang skuad bola sepak kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Omar Abdulrahman atau turut dikenali sebagai Amoory tampil mengumumkan persaraannya selaku pemain profesional pada usia 34 tahun.

Omar salah seorang pemain yang membarisi kesebelasan utama UAE ketika membantai Malaysia 10-0 pada September 2015 di Abu Dhabi dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia FIFA 2018 / Piala Asia AFC 2019 mengumumkan persaraan menerusi akaun media sosial peribadinya.

Dalam perlawanan itu, Omar menjadi ‘arkitek’ kepada kemenangan besar UAE dengan menghasilkan enam bantuan gol buat rakan sepasukannya. 

Lahir di Riyadh dan dibesarkan di UAE, Omar yang merupakan seorang pemain tengah memulakan karier bola sepak seniornya bersama Al Ain FC pada tahun 2008. Namanya menarik perhatian orang ramai terutamanya di benua asia dengan pantas berikutan bakat dan kebolehannya yang cukup mengagumkan.

Selain Al-Ain FC, Omar turut menyertai beberapa kelab lain dalam kancah bola sepak UAE seperti Al Jazira, Shabab Al-Ahli, Al Wasl serta sebuah kelab di Arab Saudi iaitu Al Hilal.

Sementara itu, bersama skuad kebangsaan UAE, Omar telah merekodkan 64 penampilan sejak melakukan debutnya pada tahun 2011. 

Antara pencapaian yang diraihnya adalah juara Liga Pro UAE sebanyak enam kali, Piala Super Saudi 2018 dan Piala Negara Teluk 2013 bersama skuad kebangsaan UAE.

Bagi pencapaian peribadinya pula, antara yang paling mencuri tumpuan adalah ketika Omar dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Juara-Juara AFC 2016 dan Pemain Asia Terbaik Tahunan 2016.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd