Masters Kumamoto: Pilihan Pertama Pearly-Thinaah Cipta Kebangkitan Ke Pusingan 16
Hafiz Omar

Beregu badminton wanita utama negara yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berhasil memulakan kempen Masters Kumamoto Jepun 2025 dengan langkah kanan.
Bagaimanapun, pasangan yang menduduki ranking kedua dunia itu terlebih dahulu dikejutkan beregu tuan rumah, Mikoto Aiso dan Momoha Niimi pada set pertama ketika berentap di pusingan 32, sebentar tadi.
Dalam set itu, pasangan yang berada di ranking ke-134 dunia itu mencetak kemenangan menerusi skor 21-18.
Tersentak dengan kekalahan itu, Pearly-Thinaah bangkit mencipta kemenangan pada set kedua menerusi skor 21-9 diikuti dengan menamatkan set ketiga menerusi pungutan mata 21-17 sekaligus meraih tiket kemaraan ke pusingan di Jelajah Dunia BWF Super 500 terbabit.
Beralih kepada peringkat seterusnya, Pearly-Thinaah akan berhadapan pula dengan beregu Republik Korea, Jeong Na Eun dan Lee Yeon Woo untuk merebut slot ke suku akhir.
Terdahulu, pasangan yang menghuni ranking ke-20 dunia itu mengesahkan kemaraan selepas menundukkan beregu tuan rumah, Moe Aoki dan An Uesugi secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-8 dan 21-12.
Semakan rekod pertemuan menunjukkan Pearly-Thinaah sudah pernah bertemu Na Eun dan Yeon Woo sebanyak tiga kali setakat ini – di Masters Orleans 2025, Terbuka Thailand 2025 dan Terbuka Jepun 2025.
Ketiga-tiga perlawanan itu menyaksikan kemeangan ituberpihak kepada Pearly-Thinaah.
Featured Image: BAM