Masters Kumamoto: Pearly-Thinaah Tiada Masalah Ke Suku Akhir

November 13, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu wanita negara yang menduduki ranking kedua dunia, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan nampaknya tiada masalah untuk menempatkan dirinya di suku akhir Masters Kumamoto Jepun 2025.

Di peringkat pusingan 16 sebentar tadi, Pearly-Thinaah yang turut diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan bertemu Jeong Na Eun dan Lee Yeon Woo dari Republik Korea.

Pearly-Thinaah berhasil menumpaskan Na Eun-Yeon Woo dengan mudah – merekodkan dua set kemenangan berturut-turut menerusi skor 21-14 dan 21-9 dalam masa 32 minit.

Keputusan itu bukan sahaja memberikan mereka tiket ke peringkat suku akhir bahkan melebarkan rekod pertemuan dengan Na Eun-Yeon Woo kepada empat kemenangan berturut-turut.

Di peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung esok, Pearly-Thinaah bakal dipertemukan dengan Hsu Yin-Hui dan Lin Jhih Yun dari Chinese Taipei merangkap pilihan ketujuh kejohanan.

Pasangan yang menghuni ranking ke-17 dunia itu mara ke suku akhir selepas menumpaskan beregu Jepun, Nanako Hara dan Riko Kiyose menerusi skor 21-16 dan 21-14 dalam masa 36 minit.

Berdasarkan rekod, Pearly-Thinaah dan Hsu-Lin pernah bertemu sebanyak satu kali setakat ini – di Terbuka Perancis 2025.

Pertemuan itu dimenangi oleh Pearly-Thinaah menerusi skor 21-16, 22-24 dan 21-12.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd