Astro Siar Saingan Piala Sultan Azlan Shah 2025
Hafiz Omar

Astro sekali lagi membawakan kepada penonton kejohanan hoki berprestij, Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31, yang akan berlangsung dari 23hb hingga 30hb November 2025 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Perak.
Kejohanan jemputan tertua di Asia ini bakal menyaksikan pertembungan pasukan-pasukan elit dunia seperti Belgium, India, New Zealand, Korea Selatan, Kanada serta Malaysia selaku tuan rumah bagi merebut trofi berprestij yang menjadi kebanggaan arena hoki antarabangsa.
Kejohanan ini membuka tirainya menerusi pertembungan India dan Korea Selatan pada 23hb November pada jam 4 petang.
Selepas itu, tumpuan utama pastinya akan terarah kepada pertembungan musuh tradisi, India menentang Malaysia, dijadualkan berlangsung pada 26hb November jam 8 malam.
Ianya bakal menjadi aksi balas dendam buat The Speedy Tigers selepas tewas di tangan India dalam saingan Piala Asia sebelum ini.
Untuk makluman semua, Astro telah menjalinkan kerjasama dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang meletakkannya sebagai penyiar rasmi bagi lima edisi Piala Sultan Azlan Shah.
Semenyata itu, Astro turut memaklumkan akan membawakan kembali liputan secara langsung dari lokasi kejohanan di tepi padang bersama hos dan legenda hoki negara seperti Dato’ Mirnawan Nawawi, Azlan Misron dan Maninderjit Singh untuk memberikan analisis serta pandangan taktikal sepanjang kejohanan berlangsung – bagi mempertingkat pengalaman tontonan yang lebih mengujakan.
