Kuching City Masih Berpeluang Ke Pentas Final Piala FA
Hafiz Omar

Legenda bola sepak Sarawak, Abdul Jalil Ramli menegaskan bahawa Kuching City FC masih berpeluang untuk mara ke final Piala FA 2025-2026 meskipun berdepan cabaran sukar menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Bekas kapten Sarawak yang berjaya menjulang trofi Piala FA pada 1992 itu melahirkan rasa bangga melihat prestasi Kuching City sepanjang musim ini. Beliau merasakan skuad The Cats itu wajar diberi pujian kerana mereka bukan sahaja tampil cemerlang dalam saingan Piala FA bahkan berada dalam kelompok tiga teratas Liga Super.
“Saya rasa setakat ni bukan sahaja dalam Piala FA, tapi dalam liga pun Kuching City pamerkan permainan yang baik. Kedudukan pun baik, dalam Top 3. Ini perkembangan positif untuk bola sepak di Sarawak,” jelas Jalil Ramli.
Mengulas aksi separuh akhir pertama, beliau berkata Kuching City sebenarnya menunjukkan peningkatan yang ketara apabila mampu menyaingi corak permainan JDT dan hanya tewas tipis 1-2.

Kata Jalil Ramli, JDT berada di tahap yang berbeza berbanding pasukan lain namun memuji cara pemain Kuching City kekal tenang dan berani bersaing walaupun menentang pasukan gergasi itu.
“Jika lihat daripada corak permainan, banyak peningkatan ditunjukkan. Pada perlawanan pertama, Kuching City boleh menyaingi posisi dan rentak JDT. Cuma kalau dari segi pengalaman, memang berpihak kepada JDT,” katanya.
Menjelang aksi timbal balik di SSI, beliau percaya tekanan sebenar kini terletak di bahu JDT yang perlu mempertahankan kelebihan agregat 2-1 di laman sendiri, manakala Kuching City ‘boleh’ turun tanpa tekanan.
“Walaupun ramai kata susah untuk Kuching City buat kejutan, tapi saya rasa mereka masih ada peluang. Kuching tak ada apa untuk dirugikan, semua tekanan terletak pada JDT. Mereka perlu menang, sedangkan Kuching City boleh main bebas dan cuba ambil peluang,” jelasnya.
Aksi Separuh Akhir (2) Piala FA 2025-2026 antara JDT dan Kuching City dijadual berlangsung pada 30 November di Stadium Sultan Ibrahim.