Perancis Mara Ke Piala Dunia FIFA Buat Kali Ke-17

November 14, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Naib juara edisi lalu, Perancis berhasil berjaya mengesahkan tempatnya dalam pusingan akhir Piala Dunia FIFA 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico selepas bertemu Ukraine, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Tiket ke Piala Dunia buat kali ke-17 itu menjadi milik Perancis bimbingan Didier Deschamps itu selepas membantai Ukraine 4-0 menerusi jaringan berganda oleh Kylian Mbappe (55’, 83’) dan satu gol daripada Michael Olise (76’ ) serta Hugo Ekitike (86’) masing-masing.

Kemenangan itu menjadikan Perancis mengungguli peringkat kelayakan Kumpulan D dengan 13 mata daripada 5 perlawanan. Biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan, pungutan mata itu sudah tidak dapat dipintas lagi pencabarnya dalam kumpulan itu.  

Sepanjang lima perlawanan itu, Perancis turut menampilkan prestasi memberangsangkan tanpa sebarang kekalahan dengan mencetak empat kemenangan serta satu keputusan seri.

Untuk makluman, Perancis merupakan pasukan kedua daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) atau benua eropah yang mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia. 

Terdahulu, England bimbingan Thomas Tuchel menjadi pasukan pertama dari benua itu melayakkan diri ke Piala Dunia pada pertengahan Oktober lalu selepas mengungguli Kumpulan K dengan pungutan 18 mata.

Featured Image: Équipe de France de Football Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd