Belanjawan Selangor 2026: Naik Taraf Litar Lumba Kuala Selangor & Lahir Bakat Seperti Hakim Danish – RM1 Juta

November 14, 2025
Permotoran

Hafiz Omar

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menggalakkan sukan permotoran serta melahirkan lebih ramai pelumba berbakat seperti Hakim Danish Ramli.

Peruntukan itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf Litar Lumba Kuala Selangor bagi menggalakan sukan permotoran yang selamat dan berdaya saing di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Amirudin Shari mengumumkan peruntukan itu semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2026 yang bertemakan Selangor Juara, Rakyat Sejahtera di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

“Teruja dengan kejayaan Hakim Danish Ramli yang telah mencipta gelombang minat yang luar biasa terhadap perlumbaan MotoGP, Kerajaan Negeri berhasrat melahirkan lebih ramai bakat sebegini. Untuk tujuan ini sebanyak RM1 juta diperuntukkan pada tahun 2026.” ujarnya.

Belanjawan Selangor 2026 itu terdiri daripada Enam Tekad iaitu Sumber Hasil Negeri, Peluang Ekonomi Rakyat; Reformasi Tadbir Urus Memartabatkan Bangsa; Mencorak Pendidikan Melakar Masa Depan; Keunggulan Seni Budaya dan Kemantapan Generasi Muda; Selangor Negeri Penyayang dan terakhir Kelestarian Alam Sekitar dan Kebitaraan Infrastruktur. 

Menurut Amirudin, Belanjawan Selangor 2026 memperuntukan perbelanjaan sebanyak RM3.23 bilion dengan RM1.86 bilion (57.6%) untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.37 bilion (42.4%) bagi perbelanjaan pembangunan.

Featured Image: Hakim Danish Instagram

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd