Belanjawan Selangor 2026: RM100 Juta Untuk SUKMA 2026 & Persediaan Sukan Solidariti Islam 2029
Hafiz Omar

Negeri Selangor merupakan tuan rumah bagi Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 dan Para SUKMA 2026 pada tahun hadapan.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Amirudin Shari melihat pemilihan ini bukan hanya pengiktirafan kepada status Selangor sebagai negeri maju, tetapi manifestasi keyakinan bahawa negeri ini mempunyai infrastruktur, sumber manusia dan keazaman kekitaan yang tinggi untuk menganjurkan sebuah temasya sukan yang tersusun, berprestij dan meninggalkan legasi yang berkekalan.
“Bagi memastikan persediaan penganjuran berada pada tahap terbaik maka Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM100 juta di bawah Bajet Khas SUKMA Selangor 2026.”
“Peruntukan ini meliputi tiga komponen utama iaitu pembangunan dan naik taraf kemudahan sukan; kedua persediaan atlet dan jurulatih; serta ketiga penglibatan komuniti dan kesukarelawanan.” umumnya semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor, pada hari ini.

Amirudin memaklumkan antara kerja menaik taraf kemudahan sukan yang utama sempena penganjuran SUKMA 2026 adalah kerja membaik pulih dan menaik taraf Pusat Akuatik Selangor di Persiaran Akuatik, Seksyen 13, Shah Alam.
Projek ini dijangka siap pada 12hb Jun 2026 bertepatan dengan penganjuran SUKMA Ke-22 yang akan berlangsung dari 15hb hingga 24hb Ogos, dan Para SUKMA dari 5hb sehingga 14hb September 2026.
Tambahnya lagi, “usaha-usaha ini akan turut membantu Selangor membuat persediaan selaku tuan rumah untuk Sukan Perpaduan Islam (ISG) yang akan berlangsung pada 2029 sekaligus merancakkan industri sukan sebagai peluang ekonomi dan pelancongan baharu untuk negeri.”
Untuk makluman, Selangor telah diumumkan sebagai hos bagi edisi ketujuh Sukan Solidariti Islam pada 8hb November lalu selepas berkolaborasi bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan menghantar bidaan untuk menganjurkan temasya melibatkan 57 negara berkenaan.
