Kelantan TRW FC, PDRM FC Didenda RM70,000 & Dikenakan ‘Transfer Ban’

November 14, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Dua kelab Liga Super iaitu Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dan PDRM FC didenda sebanyak RM70,000 masing-masing serta larangan perpindahan pemain (transfer ban) pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2025-2026 yang bermula 5hb Januari hingga 1hb Februari kelak. 

Hukuman itu dikenakan oleh First Instance Body (FIB) berikutan pelanggaran Artikel 14 Financial Fair Play Malaysian Football League (FFP MFL) bagi musim 2025-2026, demikian penjelasan daripada Pengerusi FIB, Tuan Sheikh Mohd Nasir menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini.

Pelanggaran itu berikutan MFL tidak menerima sebarang Deklarasi Tunggakan atau Tiada Tunggakan daripada Kelantan TRW FC dan PDRM FC setakat September 2025 pada tarikh penyerahan iaitu 16hb Okotober 2025.

Untuk makluman, Kelantan TRW FC dan PDRM FC masih mempunyai tunggakan gaji daripada musim lalu – turut disahkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi kerjasama dengan FFP MFL.

“FFP MFL atas arahan FIB sebelum ini telah menghantar dua surat amaran kepada kedua-dua kelab tersebut bagi menuntut bukti pembayaran atau pelan pembayaran tunggakan namun tiada sebarang penyelesaian terhadap tunggakan tersebut.” tulis kenyataan itu.

Berikutan itu FIB telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 kepada Kelantan TRW FC dan PDRM FC atas pelanggaran Artikel 14 dan diberikan tempoh 14 hari dari tarikh surat dihantar bagi menyelesaikan tunggakan berkenaan.

Selepas itu, FIB mengenakan pula denda kedua terhadap kedua-dua kelab berkenaan, RM20,000 setiap kelab, setelah FFP MFL tidak menerima sebarang maklum balas daripada Kelantan TRW FC dan PDRM FC.

Kemudiannya, kedua-dua kelab berkenaan dikenakan pula denda buat kali ketiga, RM40,000 masing-masing, berserta larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan seterusnnya Liga Malaysia selepas FFP MFL masih tidak menerima sebarang maklum balas daripada Kelantan TRW FC dan PDRM FC.

“FIB juga telah memberikan masa sehingga 31 Disember 2025 kepada Kelantan TRW FC dan PDRM FC untuk menyelesaikan isu tunggakan tersebut dan jika kedua-dua kelab tidak menepati tarikh yang diberikan oleh FIB maka tindakan lebih tegas di bawah Artikel 14(1)(e) Peraturan FFP MFL bagi musim 2025-2026 boleh diambil.” tambah kenyataan itu lagi.

Featured Image: Kelantan TRW FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd