Piala Hyundai 2026 Berlangsung 24 Julai Hingga 26 Ogos – Di Luar Kalendar FIFA
Hafiz Omar

Tarikh berlangsung pertandingan bola sepak terulung di rantau asia tenggara, Kejohanan ASEAN Piala Hyundai 2026 telah ditetapkan bermula 24hb Julai hingga 26hb Ogos pada tahun hadapan.
Berbeza dengan penganjura dalam edisi-edisi kebelakangan ini yang berlangsung sekitar Disember hingga Januari, edisi ke-16 kelak, akan berlangsung sekitar Julai hingga Ogos.
Namun begitu, tarikh berlangsungnya pertandingan itu masih di luar kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Untuk makluman, edisi itu akan menjadi ulang tahun ke-30 pertandingan sejak ianya dipertandingkan buat julung kalinya pada tahun 1996 di Singapura.
Sementara itu, penganjur turut memaklumkan Majlis Undian Rasmi Piala Hyundai 2026 akan berlangsung pada tahun hadapan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Undian itu akan menentukan aksi play-off yang dijadualkan pada 2hb dan 9hb Jun untuk memburu slot ke peringkat kumpulan Piala Hyundai 2026. Selain itu, majlis undian itu juga akan menentukan pasukan yang akan mengisi Kumpulan A dan Kumpulan B.