Erling Haaland Bawa Norway Ke Piala Dunia FIFA 2026

November 17, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemenang kasut emas Liga Perdana (PL) musim 2023-24, Erling Haaland bakal beraksi di pusingan akhir Piala Dunia FIFA di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico yang dijadualkan berlangsung sekitar pertengahan tahun depan.

Perkembangan itu hadir selepas skuad kebangsaannya, Norway mengesahkan tempat ke Piala Dunia selepas menumbangkan Itali dengan bergaya 4-1 di San Siro pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Dua daripada gol Norway itu diledak sendiri oleh Haaland (78’, 79’) sambil baki dua gol lagi disumbangkan oleh Antonio Nusa (63’) dan Jorgen Strand Larsen (90+3’).

Dua gol oleh Haaland itu meletakkan penyerang berusia 25 tahun itu sebagai penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala Dunia peringkat eropah dengan catatan 16 gol. 

Sementara itu, Itali bimbingan Gennaro Gattuso pula meraih jaringan saguhati menerusi Pio Esposito (11’). 

Keputusan pada aksi kelapan itu meletakkan Norway bimbingan Stale Solbakken selaku juara Kumpulan I sekaligus melayakkan mereka secara automatik ke Piala Dunia 2026.

Mereka muncul juara hasil menampilkan prestasi yang memberangsangkan, merekodkan lapan kemenangan daripada lapan perlawanan dalam kumpulan yang turut disertai oleh Israel, Estonia dan Maldova.

Kemaraan itu menjadi satu detik bersejarah buat Norway selepas 28 tahun tidak beraksi di pentas Piala Dunia. Kali terakhir Norway beraksi di Piala Dunia adalah pada edisi tahun 1998 di Perancis selain edisi tahun 1938 dan 1994 di Uruguay dan Amerika Syarikat masing-masing.

Featured Image: Footballandslaget Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd