Portugal Mara Ke Piala Dunia FIFA Buat Kali Ke-9
Hafiz Omar

Skuad kebangsaan Portugal mengesahkan kemaraannya ke Piala Dunia FIFA buat kali kesembilan dalam sejarah selepas muncul juara Kumpulan F dalam kelayakan peringkat eropah.
Kejuaraan di peringkat kumpulan itu hadir selepas anak-anak buah bimbingan Roberto Martinez berpesta gol ke atas Armenia di Estadio do Dragao, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Biarpun tanpa kelibat pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo ekoran penggantungan, ianya tidak menjadi halangan buat Portugal membantai Armenia 9-1.
Kapten pasukan, Bruno Fernandes dan Joao Neves memeriahkan perlawanan itu dengan mencetak jaringan hatrik sambil Renato Veiga, Goncalo Ramos dan Francisco Conceicao menjaringkan satu gol masing-masing.
Sementara itu, Armenia pula memperoleh gol saguhati menerusi Eduard Spertsyan yang dihasil pada babak pertama permainan.
Untuk makluman, Portugal menamatkan kempen kelayakan Piala Dunia FIFA peringkat eropah selaku juara Kumpulan F dengan mengumpul 13 mata hasil mencetak empat kemenangan, satu seri dan hanya tewas sekali.
Pada edisi yang lalu, Portugal menamatkan kempen Piala Dunia FIFA di Qatar setakat peringkat suku akhir selepas dikejutkan Maghribi 0-1 hasil jaringan En-Nesyri.
Featured Image: Seleções de Portugal Facebook