Jerman, Belanda Tempah Tiket Piala Dunia FIFA 2026

November 18, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara empat kali Piala Dunia FIFA, Jerman nampak akan turut sama mewarnai saingan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada & Mexico pada tahun hadapan.

Perkembangan itu hadir selepas Jerman bimbingan Julian Nagelsmann mencatatkan kemenangan 6-0 ke atas Slovakia dalam aksi terakhir pusingan kelayakan eropah peringkat Kumpulan A, pagi tadi (waktu Malaysia).

Jerman mencetak kemenangan bergaya itu menerusi jaringan Nick Woltemade (18’), Serge Gnabry (29’), Leroy Sane (36’, 41’), Ridle Baku (67’) dan Assan Ouedraogo (79’).

Keputusan itu membolehkan Jerman muncul juara Kumpulan A sekaligus meraih tiket automatik ke saingan bola sepak ulung yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu.   

Sebagai rekod, ini merupakan kemaraan ke pusingan akhir Piala Dunia FIFA kali ke-19 berturut-turut direkodkan oleh Jerman.

Sementara itu, sebuah lagi pasukan, Belanda turut sama mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Dunia FIFA pada tahun hadapan selepas  mengalahkan Lithuania, pagi tadi.

Anak-anak buah Ronald Koeman mencetak kemenangan 4-0 ke atas lawannya hasil jaringan Tijjani Reijnders (16’), Cody Gakpo (58’), Xavi Simons (60’) dan Donyell Malen (62’).

Sepertimana Jerman, kemenangan Belanda itu turut mengesahkan status mereka selaku juara Kumpulan G tanpa sebarang kekalahan dan membolot tiket kemaraan secara automatik ke pentas Piala Dunia FIFA.

Pada edisi lalu, perjalanan Belanda terhenti setakat suku akhir selepas tewas di tangan Argentina – yang akhirnya muncul juara.

Untuk makluman, Belanda tidak pernah merangkul kejuaraan Piala Dunia FIFA dan pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 1974, 1978 dan 2010.

Featured Image: DFB Team

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd