Terbuka Australia: Wei Chong-Kai Wun Bertemu Gandingan Baharu Denmark Di Pusingan 16
Hafiz Omar

Beregu badminton lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun akan membuat perhitungan dengan wakil Denmark, Christian Faust Kjær dan Rasmus Kjær pada pusingan 16 di Terbuka Australia 2025.
Pertemuan itu terhasil selepas Wei Chong-Kai Wun memulakan kempen di Jelajah Dunia BWF Super 500 dengan langkah kanan, menang ke atas Chiang Chien-Wei dan Wu Hsuan-Yi di pusingan 32, sebentar tadi.
Dalam pertarungan itu, Wei Chong-Kai Wun mencetak kemenangan menerusi skor 23-21 dan 21-16 dalam masa 38 minit.
Sementara itu, Christian-Rasmus pula mara selepas bertarung sengit dengan sepasang lagi beregu Malaysia, Nur Mohd Azriyn dan Tan Wee Kiong dan mencatatkan kemenangan 21-19, 13-21 dan 22-20 dalam masa 58 minit.
Untuk makluman, Christian-Rasmus mula bergandingan di Masters Kumamoto Jepun 2025 pada minggu lalu. Di kejohanan itu, mereka terkandas di pusingan 32 dan kini berada di ranking ke-413 dunia.
Oleh demikian, pertarungan dengan Wei Chong-Kai Wun pada pusingan 16 bakal menjadi pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan di pentas antarabangsa.
Featured Image: BAM