Akan Kembali Tak Lama Lagi – Arif Aiman

November 19, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang sayap skuad bola sepak kebangsaan dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi bersemangat tinggi untuk kembali beraksi tidak lama lagi.

Pemain berusia 23 tahun berkenaan diturunkan dalam kesebelasan utama skuad berjulukan Harimau Malaya ketika menentang Nepal pada aksi kelima peringkat Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada malam tadi.

Bagaimanapun, pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak empat kali berturut-turut itu hanya beraksi beberapa minit sahaja sebelum dikeluarkan oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski pada minit ke-8.

“Will (be) back soon,” tulisnya menerusi akaun Thread rasminya, pada hari ini.

Arif terpaksa dikeluarkan selepas ditolak oleh pemain Nepal bernombor 5, Dipesh Gurung lalu terjatuh dan mengalami kesakitan pada paha kanannya.

Cklamovski bertindak menggantikan Arif dengan Faisal Halim dan penggantian itu ternyata tepat apabila pemain berusia 27 tahun itu meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-56 sekaligus mencetak kemenangan kelima buat Malaysia.

Dimaklumkan oleh Cklamovski selepas perlawanan, Arif akan menjalani imbasan pada hari ini untuk mengetahui kecederaan yang dialaminya.

Featured Image: Malaysia NT

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd