Terbuka Australia: Sze Fei-Izzuddin Uji Gandingan Malaysia-Korea Di Suku Akhir
Hafiz Omar

Beregu badminton lelaki No.2 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin akan membuat perhitungan dengan gandungan campuran Malaysia-Korea iaitu Goh V Shem dan Choi Sol Gyu untuk merebut tiket ke separuh akhir Terbuka Australia 2025.
Pertemuan sulung melibatkan kedua-dua beregu itu terhasil selepas Sze Fei-Izzuddin dan Goh-Choi menang ke atas lawan masing-masing di pusingan 16, hari ini.
Sze Fei-Izzuddin yang bertemu wakil Chinese Taipei, Liu Kuang Heng dan Yang Po Han terpaksa bertarung sengit selama hampir satu jam sebelum dapat mencetak kemenangan menerusi skor 21-23, 21-17 dan 21-10.
Sementara itu, Goh-Choi pula mara selepas menyingkir gandingan muda Malaysia, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King dengan mudah menerusi skor 21-19 dan 21-13 dalam masa 36 minit.
Pertemuan Sze Fei-Izzuddin dan Goh-Choi dijangka menarik ramai peminat dan penonton untuk menyaksikannya.
Setakat ini, pencapaian terbaik Goh-Choi sejak bergandingan bersama bermula hujung Januari lalu adalah muncul naib juara di Masters Indonesia II 2025.
Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin pernah bertarung menentang Goh ketika bergandingan bersama Tan Wee Kiong – pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 – di Terbuka Thailand 2021.
Featured Image: BAM