Nafuzi Senaraikan Penyerang Kelahiran Glasgow Ke Sukan SEA 2025

November 21, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) dijangka membawa penggempur kelahiran Glasgow, Scotland iaitu Fergus Tierney untuk beraksi di temasya Sukan SEA 2025.

Ini selepas ketua jurulatih skuad kebangsaan B-23, Nafuzi Zain menyenaraikan Tierney dalam kalangan 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat yang akan bermula 25hb November (Selasa).

Pada ketika ini, Tierney beraksi bersama Sabah FC dan penyerang berusia 22 tahun berkenaan telah merekodkan 13 penampilan bersama skuad berjulukan The Rhinos selain meledak dua gol.

Selain itu, senarai yang disiarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini turut menyaksikan penyenaraian pemain skuad kebangsaan dan kelab Liga Super iaitu Ubaidullah Shamsul, Alif Izwan Yuslan dan Haqimi Azim.

Antara lain, Nafuzi turut menyenaraikan muka baharu seperti berbanding skuad yang dibawa beraksi di Kelayakan Piala Asia B-23 2026 pada Ogos lalu seperti Haziq Mukhriz, Aiman Hakimi, Moses Raj, Muhammad Abu Khalil, Rahman Daud dan Rohisham Haiqal.

Dimaklumkan, senarai ini akan dipendekkan kepada 23 orang sahaja untuk terbang ke Songkhla bagi berentap di temasya dwitahunan terbabit bermula 7hb hingga 18hb Disember.

Sebagai tambahan, Nafuzi akan melangsungkan dua perlawanan persahabatan tertutup bagi menguji anak-anak buahnya sebelum terbang.

Untuk makluman, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama pemenang pingat gangsa edisi lalu, Vietnam dan Laos. Malaysia dijadualkan memulakan kempen menentang Laos pada 7hb Disember (Ahad) diikuti dengan Vietnam pada 11hb Disember (Khamis).

Featured Image: Sabah Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd