Fernandinho Umum Persaraan Pada Usia 40 Tahun

November 21, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Bekas pemain tengah pertahanan Manchester City dan skuad kebangsaan Brazil, Fernandinho mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional pada usia 40 tahun.

Menurut laporan beIN Sports, Fernandinho atau nama sebenarnya, Fernando Luiz Roza mengumumkan titik noktah terhadap karier bola sepaknya selepas beraksi bersama Athletico Paranaense dalam perlawanan amal di Arena da Baixada.

Pengumuman itu sekaligus melabuhkan tirai terhadap karier bola sepak profesionalnya selama lebih dua dekad yang turut diwarnai dengan pelbagai kejuaraan khususnya ketika bersama Manchester City dan Shakhtar Donetsk.

Secara keseluruhan, Fernandinho merekodkan enam kejuaraan Liga Ukraine, lima kejuaraan Liga Premier (PL), enam kali johan Piala Liga, empat kali menang Piala Ukraine, Piala FA, kejuaraan Piala UEFA dan lain-lain trofi.

Sementara itu, bersama Brazil, Fernandinho berhasil merekodkan 53 penampilan serta berhasil meraih gelaran juara Copa America 2019. Tidak dilupakan, Fernandinho merupakan salah satu anggota skuad belia Brazil yang merangkul gelaran Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) pada tahun 2003.

Featured Image: Manchester City

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd