Tang Jie-Ee Wei Rangkul Kejuaraan Sulung Jelajah Dunia 2025
Hafiz Omar

Penantian pasangan badminton campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei untuk merangkul kejuaraan sulung dalam siri Jelajah Dunia BWF 2025 menemui titik noktahnya.
Ianya selepas Tang Jie-Ee Wei berhasil menamatkan kempen Terbuka Australia 2025 – sebuah kejohanan bertaraf Super 500 – selaku juara, pada hari ini.
Gelaran juara itu menjelma selepas gandingan pemain berusia 27 dan 25 tahun masing-masing itu menumpaskan wakil Indonesia, Jafar Hidayatullah dan Felisha Pasaribu menerusi skor 21-16 dan 21-11 dalam masa 42 minit.
Susulan keputusan itu, Tang Jie-Ee Wei turut meraih ganjaran berupa wang tunai sebanyak AS$37,525 (~RM155,691) serta 9,200 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan pelbagai ranking oleh BWF.
Pada masa yang sama, Tang Jie-Ee Wei turut melebarkan rekod pertemuan dengan Jafar-Felisha kepada lima kemenangan tanpa sebarang kekalahan.
Sebelum ini, peluang Tang Jie-Ee Wei untuk merangkul kejuaraan sulung dalam siri Jelajah Dunia BWF 2025 hampir menjelma di Masters China 2025, pada 21hb September lalu.
Bagaimanapun, peluang tersebut dipatahkan oleh pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran dimana Tang Jie-Ee Wei tewas 21-8 dan 21-17 dalam perlawanan akhir terbabit.
Featured Image: BAM