Ranking BWF: Tang Jie-Ee Wei Kembali Ke Kelompok 3 Terbaik Dunia
Hafiz Omar

Beregu badminton campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kembali dalam kelompok tiga terbaik dunia selepas empat minggu menghuni tangga keempat dalam Ranking Dunia.
Nama pasangan pemain berusia 27 dan 25 tahun masing-masing itu berada di tangga ketiga selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskininya, pada hari ini.
Ternyata peningkatan itu digerakkan oleh kejayaan Tang Jie-Ee Wei menjuarai Terbuka Australia 2025 pada Ahad lalu dimana ianya menyumbang kepada pertambahan sebanyak 9,200 mata.
Pada ketika ini, Tang Jie-Ee Wei berada di tangga ketiga dengan pungutan 93,263 mata – di bawah gandingan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin (100,552 mata) dan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping (99,757 mata).
Sementara itu, tiada perubahan terhadap dua lagi beregu campuran tanah air iaitu Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dimana mereka tidak berganjak daripada posisi kesembilan dan ke-21 dunia masing-masing.
Sedikit mencuri tumpuan adalah peningkatan 11 anak tangga yang dicatatkan oleh Liew Xun dan Ho Lo Ee yang menempatkannya di tangga ke-76 dunia.
Pasangan berusia 22 tahun masing-masing itu mencetuskan peningkatan terbabit sekaligus mengumpul 19,890 mata hasil mara ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Indonesia II 2025 pada minggu lalu.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia