Syed Modi 2025: Enam Wakil Malaysia Lepasi Cabaran Pusingan 32

November 26, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Enam pasangan negara berhasil mengesahkan tempat ke pusingan 16 selepas melakar kemenangan pada hari pertama di Kejohanan Antarabangsa Syed Modi India 2025, pada Selasa.

Enam pasangan itu terdiri daripada beregu lelaki, Chia Weijie dan Lwi Sheng Hao; Lau Yi Sheng dan Lim Tze Jia; Muhammad Faiq dan Lok Hong Quan, Bryan Jeremy Goonting dan Fazriq Razif; beregu wanita, Ong Xin Yee dan Carmen Ting; Chong Jie Yu dan Vanessa Ng.

Pertamanya, Yi Sheng-Tze Jian mara selepas menang ke atas Suraj Gola dan Dhruv Rawat dari India secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-14 dalam masa 34 minit.

Kemaraan mereka diikuti pula dengan Faiq-Hong Quan yang mencatatkan kemenangan ke atas beregu senegara, Boon Xin Yuan dan Lee Yi Bo selepas bertarunga sengit dalam masa 51 minit sebelum mengakhirinya dengan skor 21-19, 16-21 dan 21-14.

Selepas itu, pilihan ketiga kejohanan, Chia Weijie dan Lwi Sheng Hao tidak mengalami masalah untuk melakar kemaraan apabila menumpaskan beregu India, Bhargav Ram Arigela dan Viswa Tej Gobburu menerusi skor 21-16 dan 21-14 dalam masa 38 minit.

Manakala Bryan Jeremy Goonting dan M Fazriq Razif pula menang ke atas wakil tuan rumah, Karthick Raja Balamurugan dan P. Parth Vaid menerusi skor 21-15 dan 21-17 dalam masa 30 minit.

Sementara itu, beregu wanita, Ong Xing Yee dan Carmen Ting yang turut diletakkan sebagai pilihan ketujuh menang ke atas beregu India, Deepshikha Singh dan Sonali Singh secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-15 dalam masa 35 minit.

Turut sama mencatatkan kemenangan adalah gandingan Chong Jie Yu dan Vanessa Ng yang mengetepikan cabaran beregu India, Rutaparna Panda dan Swetaparna Panda secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-13 dalam masa 40 minit.

Hari pertama kejohanan itu juga menyaksikan Goh Boon Zhe dan Wong Vin Sean terpaksa akur tewas di tangan beregu Jepun, Masayuki dan Onodera dan Daigo Tanioka secara “straight set” menerusi skor 15-21 da 16-21 dalam masa 32 minit.

Selain itu, Cheng Su Hui dan Tan Zhing Yi juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Syed Modi 2025 selepas gagal menjinakkan beregu India merangkap pilihan pertama kejohanan, Treesa Jolly dan Gayatri Gopichand Pullela. 

Mereka tewas menerusi skor 21-19, 20-22 dan 9-21 dalam masa satu jam dan 14 minit.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd