FAM Tolak Rayuan Selangor FC – Hukuman Main Stadium Kosong, Denda RM100,000 Kekal

November 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Hukuman bermain tanpa penonton (beraksi di stadium kosong) di gelanggang sendiri bagi dua perlawanan seterusnya serta denda sebanyak RM100,000 yang dikenakan ke atas Selangor FC kekal.

Perkembangan itu hadir selepas rayuan yang dikemukakan oleh kelab berjulukan Gergasi Merah kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah ditolak.

Keputusan menolak rayuan itu telah dicapai dalam mesyuarat khas kali pertama bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung pada 25hb November 2025 (Selasa).

Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FAM ketika bermesyuarat pada 14hb November lalu telah menghukum Selangor FC beraksi di stadium kosong ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC (30hb November) dan perlawanan pertama Piala FA musim seterusnya di gelanggang sendiri serta denda sebanyak RM100,000.

Hukuman itu dikenakan selepas Selangor FC didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan 1, 2, 3 dan 4 serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan 5.

Pertuduhan 1 – Pada perlawanan tersebut, penyokong Selangor FC telah melakukan pembakaran mercun dan dianggarkan sebanyak dua kali letupan mercun telah dilihat dan didengari yang dibaling ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC.

Pertuduhan 2 – Pada perlawanan tersebut, penyokong Selangor FC telah merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC yang telah mengakibatkan kecederaan kepada dua orang penyokong Negeri Sembilan FC.

Pertuduhan 3 – Pada perlawanan tersebut, dari tempat duduk orang kenamaan, seorang VVIP dari pihak Selangor FC telah membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC.

Pertuduhan 4 – Pada perlawanan tersebut, penyokong Selangor FC telah melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong.

Pertuduhan 5 – Pada perlawanan tersebut, Selangor FC telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran seperti:

(b) mematuhi dan melaksanakan undang-undang keselamatan sedia ada (undang-undang FIFA & AFC, undang-undang FAM, undang-undang nasional, perjanjian antarabangsa) dan mengambil setiap langkah keselamatan mengikut keadaan sebelum, semasa dan selepas perlawanan dan jika insiden berlaku;

(d) memastikan pihak berkuasa tempatan dimaklumkan dan bekerjasama dengan mereka secara aktif dan efektif;

(e) memastikan bahawa undang-undang dan peraturan di dalam stadium dan kawasan sekitar adalah terpelihara dan perlawanan dianjurkan dengan baik, sehingga membolehkan (i) kemasukan dan pembakaran mercun oleh penyokong Selangor FC; (ii) kejadian merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua orang penyokong Negeri Sembilan FC; (iii) perlakuan yang tidak wajar dari tempat duduk orang kenamaan yang membolehkan bekas minuman plastik berisi air dibaling ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC; dan (iv) terjadinya kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong di stadium.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd