Kejohanan Pickleball Kebangsaan Pertama Berlangsung 5-8 Disember
Hafiz Omar

Sebuah kejohanan pickleball kebangsaan anjuran badan induk, Persatuan Pickleball Malaysia bersama-sama Persatuan Pickleball Kuala Lumpur bakal berlangsung dari 5hb hingga 8hb Disember bertempat di PickleDepot @ Sentul Depot.
Kejohanan yang dinamakan sebagai Kejohanan Pickleball Tertutup Malaysia Gatorade 2025 dan penyertaannya dibuka secara eksklusif kepada pemain Malaysia sahaja.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan – perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran. Tarikan utama daripada kejohanan ini adalah kesemua peserta akan bertanding bagi memburu ranking rasmi kebangsaan bagi sukan ini.
Menurut penganjur, kejohanan ini akan mengikut format yang berstruktur dimana semua perlawanan akan dijalankan berdasarkan peraturan rasmi pickleball bagi memastikan pertandingan yang adil dan konsisten.
Bagi yang berminat, pendaftaran untuk menyertai kejohanan ini akan ditutup pada 30hb November 2025 atau sehingga penuh penyertannya. Pendaftaran boleh dilakukan di laman sesawang, www.sportssync.asia (junior) dan www.swp.solemas.com (senior).
Bagi yang ingin melihat dengan dekat atau memberikan sokongan kepada peserta yang mengambil bahagian, penganjur juga mengalu-alukan kehadiran penonton di PickleDepot @ Sentul Depot atau mengikuti perkembangan, sorotan dan detik penting secara atas talian melalui akaun Instagram; @gatorademalaysiaclosed2025.