Tidak Sampai Sebulan Bersama, Selangor FC Tamatkan Kontrak Toni Damgjoni
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC mengumumkan menamatkan kontrak pemain import yang baru sahaja ditandatanganinya iaitu Toni Damgjoni selepas mencapai persetujuan bersama.
Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Selangor FC sebelum turun beraksi menentang Bangkok United dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di BG Stadium pada Rabu.
“Sejurus tiba di Malaysia, beliau berdepan isu kesihatan dan hal keluarga yang menjejaskan penyertaannya dalam latihan penuh serta komitmen bersama skuad Selangor FC.” tulis kenyataan oleh kelab berjulukan Gergasi Merah itu.
“Toni kekal profesional sepanjang berada dalam keluarga Merah Kuning, dan kelab amat menghargai usaha serta dedikasinya sambil mengutamakan kesihatan dan kebajikan beliau.” tambah kenyataan itu lagi.
Sebagai rekod, Toni, berusia 27 tahun dan beraksi di posisi tengah diumumkan menyertai Selangor FC pada 6hb November lalu – pada hari perlawanan bertemu Persib Bandung dalam saingan ACL2.
Difahamkan, khidmat Toni diikat oleh Selangor FC khusus untuk beraksi dalam kancah ACL2.
Bagaimanapun, sepanjang bersama Selangor FC, Toni yang lahir di Croatia yang beraksi bersama skuad kebangsaan Kosovo gagal meraih sebarang minit permainan.
Featured Image: Selangor FC