Ahmedabad, India Sah Tuan Rumah Sukan Komanwel 2030
Hafiz Omar

Bandar terbesar di Gujerat, India iaitu Ahmedabad atau turut dikenali sebagai Amdavad sah dipilih sebagai tuan rumah bagi Sukan Komanwel 2030 merangkap edisi “Centenary”.
Pemilihan bandar itu diratifikasikan dalam Perhimpunan Agung Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) yang berlangsung pada Rabu di Glasgow, Scotland setelah dicadangkan pada Oktober lalu.
Penganjur juga mengesahkan sebanyak 15 hingga 17 jenis sukan akan dipertandingkan di Amdavad 2030 merangkumi olahraga dan olahraga para, renang dan renang para, ping pong dan ping pong para, boling dan boling para, angkat berat dan powerlifting para, gimnastik artistik, bola jaring dan tinju.
Proses untuk memuktamadkan baki program akan bermula bulan depan dan senarai penuhnya akan diumumkan pada tahun hadapan.
Sementara itu, memanah, badminton, bola keranjang 3×3 dan bola keranjang kerusi roda 3×3, bola tampar pantai, kriket T20, berbasikal, terjun, hoki, judo, gimnastik berirama, ragbi 7s, menembak, skuasy, triathlon dan triathlon dan gusti adalah sukan-sukan dalam pertimbangan.
Dimaklumkan, tuan rumah juga boleh mencadangkan sehingga dua sukan tradisional dan baharu.
Untuk makluman, Sukan Komanwel 2030 merupakan edisi seabad temasya selepas melangsungkan edisi sulungnya di Hamilton, Kanada pada 1930.
Dalam Perhimpunan Agung itu, satu keputusan turut dicapai iaitu penukaran nama rasmi “Commonwealth Games Federation” (CGF) kepada “Commonwealth Sports” (CS).