Gavin Lee, 35 Tahun, Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Tetap Singapura
Hafiz Omar

Selepas menyandang jawatan Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Singapura secara sementara sejak Jun lalu, Gavin Lee, kini dilantik sebagai Ketua Jurulatih tetap bagi pasukan yang menghuni ranking 151 dunia itu.
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan pelantikan jurulatih berusia 35 tahun terbabit secara rasmi menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasminya, sebentar tadi.
Pelantikan itu hadir selepas Gavin berjaya mengemudi Singapura mara ke pusingan akhir Piala Asia AFC buat julung kalinya secara merit dalam sejarah selepas mengukir kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi kelima Kumpulan C, pada Selasa minggu lalu.
Sebagai rekod, pelantikan Gavin juga mencipta sejarah menjadi jurulatih kelahiran Singapura pertama menjawat jawatan berkenaan selepas V. Sundramoorthy pada tahun 2016.
Untuk makluman, Gavin dipilih untuk mengemudi Singapura secara “interim” oleh FAS berikutan Tsutomu Ogura dari Jepun meletakkan jawatan secara mengejut atas alasan peribadi.
Ketika Ogura memimpin Singapura, Gavin merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan Ogura selaku penolong ketua jurulatih.
Featured Image: Football Association of Singapore