Harga Tiket Perlawanan Akhir Piala FA Kekal – Bermula RM50
Hafiz Omar

Harga tiket bagi menyaksikan perebutan gelaran juara Piala FA 2025-26 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 14hb Disember kelak kekal sepertimana edisi lalu, demikian makluman daripada Malaysian Football League (MFL).
Sebanyak empat tier harga tiket ditawarkan oleh penganjur iaitu RM50 dan RM70 (General Admission); RM150 (Premium) dan RM200 (VIP Grandstand).
Pada masa yang sama, MFL turut memaklumkan tiada tiket khas atau harga istimewa disediakan untuk kanak-kanak memandangkan hanya penonton berusia 4 tahun ke atas asahaja diwajibkan memiliki tiket.
Manakala bagi pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pula tidak memerlukan tiket namun penjaga diwajibkan untuk memiliki tiket yang sah dan perlu berada di zon tempat duduk khas yang telah ditetapkan.
“Seperti sebelum ini, urusan penjualan tiket akan diserahkan sepenuhnya kepada kedua-dua pasukan finalis bagi memastikan proses penjualan tiket itu dijalankan secara teratur dan adil untuk setiap penyokong,” ujar Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.

Juara bertahan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC menjadi finalis bagi Piala FA edisi ke-35 selepas selepas mencatatkan kemenangan secara agregat ke atas lawan masing-masing.
JDT mengalahkan Kuching City FC 4-1 secara agregat selepas mencetak kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.
Sementara itu, Sabah FC pula melakar sejarah mara ke perlawanan akhir Piala FA buat julung kalinya selepas 27 tahun selepas mengetepikan naib juara edisi lalu, Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 di lamannya sendiri, Stadium Majlis Bandararaya Petaling Jaya (MBPJ).
Penentuan sepakan penalti dilakukan selepas Sabah FC dan Selangor FC terikat 3-3 secara agregat selepas tamat beraksi selama 120 minit.
Menurut MFL, tarikh 14hb Disember ditetapkan sebagai tarikh perlawanan akhir selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) membabitkan JDT.
Untuk pengetahuan semua, kelab berjulukan Harimau Selatan itu dijadualkan menentang Shanghai Port pada 9hb Disember di SSI.
Featured Image: Sabah Football Club