Aaron-Khai Xing Rangkul Kejuaraan Pertama Super 300 Di Syed Modi India

November 30, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Juara Kejohanan Remaja Dunia BWF 2024, Aaron Tai dan Kang Khai Xing melakar pencapaian baharu dalam kariernya apabila menjulang kejuaraan pertama Jelajah Dunia BWF Super 300.

Pasangan pemain berusia 19 tahun masing-masing itu menjulang kejuaraan terbabit selepas mencetak kemenangan dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi India 2025, pada Ahad.

Perlawanan akhir itu menemukan mereka dengan beregu senegara, Chia Weijie dan Lwi Sheng Hao dan ianya berakhir dengan Aaron-Khai Xing merekodkan kemenangan menerusi skor 21-9 dan 21-19 dalam masa 32 minit.

Pertemuan itu bagaikan ulangan perlawanan akhir di kejohanan Malaysia Super 100 2025 di Johor Bahru dimana Aaron-Khai Xing turut merekodkan kemenangan ke atas beregu yang sama juga secara dua set berturut-turut – 21-18 dan 21-7 dalam masa 28 minit.

Selain bergelar juara, Aaron-Khai Xing turut membawa pulang ganjaran berupa wang tunai sebanyak AS$18,960 (~RM78,380) serta memungut 7,000 mata untuk dimasukkan dalam pelbagai pengiraan ranking oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Featured Image: Malaysia Masters 2025

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd