UPSI Terima Pengiktirafan ‘1st Para Junior Championship’ Oleh POPM
Hafiz Omar

Penganjuran Kejohanan Olahraga Mini Para UPSI 2025 peringkat kebangsaan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menerima pengiktirafan sebagai “1st Para Junior Championship” daripada Persatuan Olahraga Para Malaysia.
Ianya turut meletakkan UPSI sebagai institusi perintis dalam penganjuran kejohanan para peringkat junior di Malaysia.
Kejohanan itu menghimpunkan kira-kira 120 atlet para dari seluruh negara mempertandingkan acara balapan 100 meter (m), 200m, 400m, 1500m serta acara padang merangkumi lompat jauh dan lontar peluru.
Kesemua acara dibahagikan mengikut kategori ketidakupayaan intelektual dan penglihatan bagi atlet lelaki dan wanita.
Antara atlet yang mencuri tumpuan ialah Muhammad Fitri Aszuddin dari Kuala Lumpur yang meraih pingat emas dalam 200 meter serta perak dalam lompat jauh. Sementara itu, atlet Selangor, Nur Izdihar Ibrahim, turut tampil cemerlang dengan dua pingat emas dalam acara lompat jauh dan 400 meter.

Presiden Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM) merangkap Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Zarrawi Ravi Abdullah berkata program berkenaan merupakan inisiatif penting untuk membina bakat atlet para sejak peringkat muda.
“Melalui penganjuran sukan ini, kita dapat mengenal pasti atlet berbakat sejak awal dan memberi mereka peluang untuk bersaing dalam suasana yang profesional dan adil.”
“Ia juga menjadi landasan untuk melahirkan atlet para yang mampu mewakili negara pada peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan kejohanan sukan berkenaan di Stadium UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah.
Menurut beliau, penglibatan UPSI sebagai penganjur adalah contoh terbaik bagaimana institusi pendidikan tinggi boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan inklusif.
“UPSI bukan sahaja menyediakan platform untuk pertandingan, malah menyokong pembangunan holistik atlet para melalui latihan, bimbingan dan pengalaman praktikal. Ini adalah model yang patut dicontohi oleh institusi lain,” tambahnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) UPSI, Prof. Madya Dr. Jaffry Zakaria berkata pengiktirafan tersebut membuktikan keupayaan UPSI menyediakan platform sukan berkualiti tinggi bagi golongan berkeperluan khas.
“Pengiktirafan sebagai 1st Para Junior Championship ini adalah pengiktirafan besar bukan sahaja kepada UPSI tetapi juga kepada usaha berterusan kami dalam memperkasakan pembangunan sukan para di Malaysia.”
“UPSI akan terus komited menyediakan ruang kompetitif yang inklusif dan terancang untuk para atlet muda.”
Jaffry berkata lagi, kejohanan berkenaan bukan sekadar medan pertandingan, malah berperanan sebagai platform pembangunan bakat yang berpotensi menjadi pelapis kepada atlet para kebangsaan.
“Kita mahu memastikan atlet para yang masih di peringkat sekolah mendapat peluang yang sama rata untuk bertanding, bersaing dan dinilai berdasarkan kemampuan mereka. Inilah asas kepada pembangunan atlet secara menyeluruh,” katanya.