FIFPRO Anggap 7 Pemain Adalah Mangsa, Pertikai Hukuman FIFA

December 2, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPRO) tujuh pemain naturalisasi Malaysia adalah mangsa sambil mempertikaikan hukuman penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi satu kenyataan media, hukuman penggantungan ke atas tujuh pemain terdiri daripada Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero berikutan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) – pemalsuan dan penyelewengan dokumen – mendapat perhatian badan global yang berpangkalan di Belanda itu.

“Hukuman yang dikenakan kepada mereka – penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak – adalah sangat tidak seimbang dengan keadaan sebenar kes tersebut.”

“Jelas bahawa para pemain sebenarnya adalah mangsa dalam hal ini. Keputusan itu sendiri mengesahkan bahawa mereka tidak memalsukan sebarang dokumen untuk mendapatkan kelayakan, dan turut mengakui bahawa dokumen yang mereka serahkan adalah asli.” tulis kenyataan oleh FIFPRO.

“Para pemain juga tidak mempunyai cara untuk mendapatkan pengesahan rasmi daripada FIFA berhubung kelayakan mereka secara individu, satu prosedur yang sebenarnya tidak diwajibkan di bawah peraturan semasa. Oleh itu, amat membimbangkan apabila mereka dipertanggungjawabkan atas dokumen yang dihantar oleh sebuah persatuan bola sepak kepada FIFA – sedangkan mereka tidak pernah mengeluarkan atau menyerahkan dokumen tersebut. Tujuh pemain ini telah mengikut segala prosedur yang ditetapkan: mereka menghantar dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani upacara angkat sumpah, menerima pasport yang dikeluarkan kerajaan, dan menunggu kelulusan kelayakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).” tambah FIFPRO lagi. 

Badan yang mewakili pemain sekitar 70,000 pemain di seluruh dunia itu turut menyatakan sokongan penuh kepada para pemain terbabit dan percaya bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membatalkan ketidakadilan ini.

Kenyataan oleh FIFPRO ini turut dikongsikan oleh pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail di akaun Facebook peribadinya, tengah malam tadi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd