Stadium Jalan Besar Kini Guna Rumput Asli

December 2, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Gelanggang berkapasiti 6,000 tempat duduk, Stadium Jalan Besar yang pernah digunakan oleh skuad kebangsaan Singapura kini menggunakan rumput asli menggantikan rumput tiruan.

Perkara tersebut dikongsikan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sambil memaklumkan BG Tampines Rovers akan menjadi kelab tempatan Singapura yang pertama akan beraksi di atas padang baharu berkenaan ketika melayan BG Pathum United dalam saingan Piala Shopee peringkat Kumpulan A, 3hb Disember (Rabu).

FAS mendedahkan, kini, padang di Stadium Jalan Besar itu juga telah mematuhi polisi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) – aksi melibatkan peringkat kelab dan skuad kebangsaan perlu dimainkan di atas padang yang menggunakan rumput asli sahaja.

Badan induk bola sepak Singapura turut memaklumkan stadium itu akan digunakan sepenuhnya untuk kelab-kelab Singapura beraksi dalam kancah Piala Shopee dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Selain BG Tampines Rovers, Lion City Sailors FC menjadi satu lagi kelab yang turut beraksi dalam saingan Piala Shopee dan ACL2 bagi musim ini. Giliran mereka untuk menggunakan padang buat julung kalinya adalah pada 17hb Disember bertemu Shan United dari Myanmar.

Untuk makluman, Stadium Jalan Besar memulakan proses penggantian rumputnya selepas berakhir musim bola sepak 2024-2025.

Featured Image: FAS

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd