Sukan SEA: Kos Tambahan Perpindahan Kontinjen Dari Songkhla Ke Bangkok Ditanggung MSN
Hafiz Omar

Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan akan menanggung semua kos tambahan membabitkan perpindahan atlet Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Ke-33 daripada Songkhla, wilayah selatan Thailand yang dilanda banjir, ke ibu negaranya iaitu Bangkok serta satu lagi lokasi, Chonburi.
Kos tambahan itu dianggarkan melebihi RM500,000 dan kelulusan itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
Menurut satu kenyataan oleh MSN, keputusan itu bertujuan memastikan semua atlet negara daripada 10 jenis sukan, daripada Kategori A mahupun Kategori B, tidak diganggu kebimbangan yang mampu menjejaskan fokus dan prestasi mereka daripada insiden luar jangka seperti dialami ketika ini.
“Kelulusan bagi menampung kos tambahan itu diharapkan dapat menjadi pembakar semangat dan menyemarakkan kesungguhan semua atlet berjuang untuk membawa pulang pingat kepada negara.” tulis kenyataan oleh MSN.
“Keputusan itu selari dengan keprihatinan yang disuarakan Kerajaan Madani mengenai nasib seramai 206 atlet dan pegawai Kontinjen Malaysia yang berdepan kesukaran setelah dipaksa berpindah hanya beberapa hari sebelum temasya Sukan SEA Ke-33 bermula.” tambah kenyataan itu lagi.
Antara sukan yang ditukarkan venue pertandingannya dari Songkhla ke Bangkok adalah muay thai, pencak silat, bola sepak lelaki, catur, judo, kabaddi, karate, petanque dan wushu. Sementara itu, venue bagi gusti pula dipindahkan ke Chonburi.