Nizam Abu Bakar Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan & Ekonomi Kreatif Negeri Sabah
Hafiz Omar

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri Sabah kini disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas iaitu Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau merupakan salah seorang daripada ADUN yang dipilih oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menganggotai Kabinet Negeri.
Pelantikan Nizam disahkan secara rasmi selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet negeri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
“Syukur Alhamdulillah hari ini (Isnin) selesai mengangkat sumpa dalam jemaah menteri Kabinet Negeri Sabah yang baharu 2025 sebagai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.” tulisnya di akaun Facebook rasmi.
Terdahulu, Nizam yang juga merupakan Ketua Penerangan Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) berjaya mempertahankan DUN Apas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dengan meraih sebanyak 9,238 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Beliau mendapat majoriti sebanyak 4,248 undi berbanding pencabar terdekatnya, Sarman Amat Simito dari Parti Warisan Sabah yang meraih 4,991 undi.
Manakala empat lagi calon lain terdiri daripada Dr. Elmiariezan (Barisan Nasional), Lim Ting Khai (Perikatan Nasional), Herman Amdas (Parti Impian Sabah) dan Marsiah Omat (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) hanya meraih 2,151 undi; 1,940 undi; 177 undi dan 105 undi masing-masing.
Featured Image: Facebook Nizam Abu Bakar Titingan