7 Pasukan Sahkan Tempat Ke Suku Akhir Liga A2
Hafiz Omar

Saingan Liga A2 Amateur 2025-26 bakal memasuki peringkat suku akhir tidak lama lagi. Aksi pertama bagi peringkat tersebut telah pun dijadualkan pada 13hb dan 14hb kelak manakala aksi timbal balik berlangsung seminggu kemudian.
Sebanyak tujuh buah pasukan berhasil mengesahkan tempat ke peringkat itu selepas menutup saingan peringkat zon masing-masing pada Sabtu lalu.
Tujuh pasukan itu terdiri daripada AAK Puncak Alam FC, ACEIO FC (Zon Tengah), Teck-Hin KR FC, MBMB Warrior FC (Zon Selatan), AZM Rovers FC serta YPM FC (Zon Timur) dan USM FC (Zon Utara).
AAK Puncak Alam FC tampil cemerlang dengan melakar 10 kemenangan tanpa sebarang kekalahan sekaligus melangkah ke suku akhir selaku juara Zon Tengah diiringi naib juara, ACEIO FC yang merekodkan enam kemenangan serta dua keputusan seri.

Sementara itu, Teck Hin-KR FC pula tampil selaku juara Zon Selatan dengan status “invincible” hasil mencetak enam kemenangan dua seri sambil diiringi oleh naib juara, MBMB Warrior FC yang meraih lima kemenangan dan mengalami tiga kekalahan.
Manakala di Zon Pantai Timur, juara menjadi milik AZM Rovers FC yang turut diperkuatkan dengan kehadiran Badhri Radzi atau Piya setelah mengumpul 15 mata daripada enam perlawanan sambil diikuti oleh naib juara, YPM FC yang mengutip 10 mata.
Zon Utara pula menyaksikan hanya USM FC mengesahkan tempat dengan lebih awal apabila merekodkan tujuh kemenangan daripada tujuh perlawanan. Mereka masih mempunyai baki satu perlawanan namun muncul juara secara matematik selepas mengumpul 21 mata.
Satu lagi slot ke suku akhir, naib juara Zon Utara, akan ditentukan pada Sabtu nanti melibatkan Kuala Perlis Titan FC, Kuala Muda FA, Bintong FC dan Kubang Pasu-MPKP.
Kesemua pertemuan itu sepatutnya berlangsung pada minggu lalu namun terpaksa dipinda berikut keadaan banjir di Perlis dan Kedah.
Featured Image: AZM Rovers FC