Ranking BWF: Juara Syed Modi India Lonjak 11 Anak Tangga

December 3, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki negara yang merangkul kejuaraan di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi India 2025, Aaron Tai dan Kang Khai Xing merekodkan peningkatan yang ketara dalam Ranking Dunia.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa menyaksikan pasangan berusia 19 tahun masing-masing itu melonjak sebanyak 11 anak tangga sekaligus meletakkan mereka di tangga ke-46 dunia bagi minggu ini.

Peningkatan itu dicetuskan oleh pertambahan sebanyak 7,000 mata hasil menjuarai saingan Jelajah Dunia BWF Super 300 – kejuaraan pertama dalam siri Jelajah Dunia dimenangi Aaron-Khai Xing – mengumpul 31,240 mata secara keseluruhan.

Sementara itu, Chia Weijie dan Lwi Sheng Hao yang meraih gelaran naib juara di kejohanan yang sama turut merekodkan kenaikan sembilan anak tangga dan berada di tangga ke-36 dunia untuk minggu ini.

Manakala kedudukan tiga beregu lelaki terbaik negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun kekal tidak berganjak di posisi kedua, keempat dan kelima dunia masing-masing.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd