Astro Siar Aksi Atlet Negara Di Sukan SEA 2025

December 3, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Perjuangan atlet-atlet negara di Sukan SEA Thailand 2025 bermula 9hb hingga 20hb Disember akan dapat disaksikan secara langsung menerusi Astro Arena (saluran 801 & 802) serta platform digital, Astro Go dan Sooka.

Stesen televisyen berbayar serta peneraju kandungan dan hiburan itu mengumumkan mengenai penyiaran langsung temasya berkenaan menerusi satu kenyataan media yang disiarkan, pada hari ini. 

Bukan sahaja membawakan siaran langsung, Astro turut membuat liputan menyeluruh dengan menyajikan beberapa program harian sepanjang berlangsungnya temasya dwitahunan terbabit.

Liputan terawal dimulakan dengan acara tumpuan iaitu bola sepak lelaki, 6hb Disember, dimana anak-anak buah Nafuzi Zain akan memulakan kempen bertemu Laos. 

Keesokan harinya, 7hb Disember, salah satu acara tumpuan iaitu badminton bermula dimana Malaysia mempertaruhkan barisan terkuat untuk memburu kilauan pingat pada edisi ini dengan menyenaraikan pemain-pemain utama negara.

Manakala pada 9hb Disember pula, sukan tradisi, sepak takraw pula membuka tirainya dan pertemuan dua seteru, Malaysia dan Thailand pastinya menjadi tumpuan utama peminat sukan tanah air.

Astro memaklumkan bakal menghantar 10 petugas produksi termasuk wartawan serta jurugambar ke bumi Gajah Putih selama 14 hari berlangsungnya temasya terbabit. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd