Sukan SEA: Kontinjen Malaysia Sasar 200 Butir Pingat Tanpa Warna Spesifik

December 3, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Teka-teki mengenai sasaran Kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 terjawab apabila Chef De Mission (CDM) atau Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah mengumumkan mensasarkan untuk mengutip 200 butir pingat.

Legenda renang negara itu mengumumkan sasaran terbabit dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia Ke Temasya Sukan SEA Ke-33 dan Sukan Para ASEAN Ke-13 Thailand 2025 bertempat di Majlis Sukan Negara (MSN), petang tadi.

“Ini adalah angka yang realistik dan satu sasaran yang perlu kami pertanggungjawabkan. Kami berharap atlet-atlet kita akan terus kekal fokus dan konsisten sepanjang temasya itu dan kemudian membawa pulang sebanyak mungkin pingat untuk Malaysia.” kongsinya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menjelaskan sasaran pingat secara keseluruhan terbabit adalah realistik selain dapat memperbaiki kedudukan Malaysia dalam carta pungutan pingat berbanding Sukan SEA edisi 2023 dan 2021.

Untuk makluman semua, Kontinjen Malaysia kali ini dianggotai seramai 1,142 atlet serta diiringi 515 pegawai dan dijadualkan menyertai kesemua 50 acara sukan yang dipertandingkan di Bangkok dan Chonburi bermula 9hb hingga 20hb Disember. 

Manakala untuk Kontinjen Malaysia ke Para ASEAN, dijadualkan berlangsung di Korat dari 20hb hingga 26hb Januari, mereka disasarkan untuk meraih 181 butir pingat juga tanpa kilauan warna yang spesifik. Kontinjen ini dianggotai seramai 236 atlet dan 117 pegawai.

Dalam majlis itu, MSN turut mengumumkan atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA manakala Muhammad Akmal Danish dan Nurzammiezatul Syafiqqah sebagai pembawa Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Para ASEAN.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd