Sukan SEA: Badminton Sasar 4 Pingat Emas
Hafiz Omar

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran untuk menjelmakan empat butir pingat emas daripada sukan badminton di temasya Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025.
Pemburuan emas itu dikongsikan sendiri oleh Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sidang media selepas daripada Majlis Pelepasan Atlet Badminton Ke Sukan SEA di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada hari ini.
Mantan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu turut memaklumkan menyandarkan sasaran untuk membawa pulang empat butir pingat emas itu menerusi beregu campuran, beregu lelaki, beregu wanita dan acara berpasukan.
“Sasaran kita adalah tujuh (butir) pingat untuk badminton… empat (pingat) emas, itulah sasarannya,” katanya yang kini menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Sudah tentu, jangkaan jika kita melihat kepada ranking dan prestasi sepanjang tahun ini, ianya terarah kepada beregu campuran, beregu lelaki, beregu wanita dan acara berpasukan,” tambahnya.
Temasya Sukan SEA kali ini menyaksikan BAM menghantar nama-nama besar khususnya dalam acara beregu untuk menyertai Kontinjen Malaysia berbanding edisi-edisi sebelumnya yang merupakan pemain pilihan kedua atau pemain pelapis.
Antara nama-nama yang akan beraksi di temasya itu nanti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Manakala untuk pemain perseorangan pula, BAM membariskan Leong Jun Hao, Justin Hoh, Letshanaa Karupathevan dan Wong Ling Ching.
Sukan badminton di Sukan SEA akan bermula dengan acara berpasukan lelaki dan wanita dari 7hb hingga 10hb Disember.
Selepas itu, ianya akan diikuti dengan acara individu melibatkan lima sektor – perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran – dari 11hb hingga 14hb Disember.
Kesemua aksi badminton ini akan berlangsung di Thammasat University Rangsit Campus, Pathum Thani.