Sukan SEA: Tang Jie, Ee Wei Ketuai Skuad Lelaki & Wanita Acara Berpasukan

December 4, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Cheng Tang Jie dan Toh Ee Wei yang merangkul kejuaraan Kejohanan Dunia BWF 2025 kini dipertanggungjawabkan sebagai kapten bagi skuad lelaki dan wanita masing-masing dalam acara berpasukan di Sukan SEA Thailand 2025.

Pelantikan pemain berusia 27 dan 25 tahun masing-masing itu sebagai kapten diumumkan dalam Majlis Pelepasan Pemain ke Sukan SEA 2025 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

“Pertama sekali, saya mahu berterima kasih kepada Coach Rexy (Mainaky) memberikan tanggungjawab (selaku kapten), ini merupakan satu motivasi dan satu pembelajaran untuk saya menjadi kapten, saya sangat gembira Coach Rexy (amanahkan) saya sebagai kapten,” kata Tang Jie dalam sidang media selepas majlis berkenaan.

Sementara itu, Ee Wei turut melontarkan ucapan terima kasih kepada Rexy yang memberikan kepercayaan untuk melantiknya sebagai kapten bagi skuad wanita.

“Saya akan cuba berikan yang terbaik untuk membantu dan menyokong pasukan kerana kita akan bermain acara berpasukan terlebih dahulu, saya akan cuba sebaiknya untuk memberikan semangat, sokong satu sama lain dan bermain sebagai sebuah pasukan,” ujar Ee Wei.

Tang Jie akan mengepalai skuad lelaki yang terdiri daripada Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe, Aidil Sholeh, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Man Wei Chong, Tee Kai Wun dan Hoo Pang Ronn.

Manakala skuad wanita pula dibarisi oleh Letshanaa Karupathevan, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha, Eng Ler Qi, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan, Go Pei Kee, Teoh Mei Xing dan Cheng Su Yin.

Untuk makluman, acara berpasukan lelaki dan wanita dijadualkan berlangsung dari 7hb hingga 10hb Disember.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad lelaki negara memenangi pingat emas dalam acara berpasukan adalah di Sukan SEA Manila 2005. Manakala pada edisi lalu, skuad lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas perlawanan akhir di tangan Indonesia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd