FAM Telah Kemuka Rayuan Kepada CAS – Pemangku Presiden
Hafiz Omar

Badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Perkembangan mengenai perkara tersebut disampaikan sendiri oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dalam satu kenyataan media yang diedarkan pada hari ini.
“FAM telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas badan induk ini serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.”
“CAS telah menetapkan bahawa pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari sehingga 18 Disember 2025 untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.” katanya.
FAM mengemukakan rayuan kepada CAS selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan sekaligus mengekalkan hukuman denda kepada badan induk itu dan gantung selama setahun selain turut mendenda tujuh pemain – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Terdahulu hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas FAM dan tujuh pemain terbabit melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) – penyelewengan dan pemalsuan dokumen.