Kelantan Red Warrior FC Buru 2 Pemain Import Baharu
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur yang beraksi dalam kancah Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC bakal mendatangkan khidmat dua pemain import baharu pada jendela perpindahan pertengahan musim.
Untuk makluman, jendela perpindahan pertengahan musim bagi Liga A1 mula dibuka hari ini, 8hb Disember.
Perancangan membawa masuk dua pemain import bagi kelab bimbingan jurulatih veteran, Irfan Bakti itu dikongsikan sendiri oleh Presiden Kelantan Red Warrior FC, Dato’ Muhamad Zaki Harun.
“Kelantan Red Warrior seperti dimaklumi akan membawa masuk import bagi memenuhkan dua slot yang kosong setelah perpisahan dengan Ismael Salim Dunga pada awal musim dan yang terbaru, pemain antarabangsa Pakistan, Otis Khan yang telah bersetuju menamatkan kontrak lebih awal.” katanya menerusi satu kenyataan media.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, kelab menjelaskan bahawa pihak kejurulatihan memberi cadangan untuk mendapatkan pemain import baharu bagi memperkuatkan lagi setiap posisi pasukan.
Jelas pihak kejurulatihan lagi, posisi semasa Otis Khan, tengah dan sayap, boleh diisi oleh pemain tempatan yang tidak kurang hebatnya.
Pada ketika ini, Kelantan Red Warrior FC berada di kedudukan ketujuh – mengumpul 23 mata hasil mencetak 6 kemenangan dan 4 seri – selepas mengharungi 13 perlawanan Liga A1.
Featured Image: Kelantan Red Warrior FC