Safuwan Mohon Tamatkan Tempoh Pinjaman Bersama Lion City Sailors FC

December 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pertahanan skuad kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin memohon untuk menamatkan tempoh pinjamannya dengan lebih awal bersama Lions City Sailors FC.

Menerusi satu kenyataan media, kelab yang beraksi dalam kancah Liga Premier Singapura (SPL) itu memaklumkan menerima permohonan pemain berusia 34 tahun berkenaan sekaligus menoktahkan ikatan yang dimeterai mereka sejak awal Julai lalu.

Lion City Sailors turut mendedahkan permohonan Safuwan untuk menamatkan tempoh pinjaman dengan lebih awal atas alasan urusan peribadi sebelum kembali ke pangkuan Selangor FC bermula Januari kelak.

“Asalnya (Safuwan) dipinjamkan sehingga hujung Disember 2025, (bagaimanapun) pemain antarabangsa Singapura itu memohon penamatan awal perjanjian pinjaman untuk menguruskan hal peribadi di Kuala Lumpur sebelum kembali kepada Selangor FC bermula Januari 2026.” tulis kenyataan oleh kelab dari Singapura itu.

Bersama Lion City Sailors, Safuwan berhasil meraih enam penampilan dalam pelbagai pertandingan termasuk peringkat antarabangsa seperti Piala Shopee dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Penghijrahan ke Lion City Sailors turut menandakan kepulangan semula Safuwan ke kancah bola sepak negara kelahirannya selepas sembilan musim berturut-turut beraksi di Liga Malaysia.

Featured Image: Lion City Sailors FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd