Piala FA: Sabah FC Terima Dana Khas RM100,000 Sebelum Terbang Ke SNBJ

December 11, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Finalis Piala FA 2025-26, Sabah FC menerima dana berjumlah RM100,000 sebelum beraksi di perlawanan akhir sekaligus menyuntik moral para pemain untuk bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 14hb Disember (Ahad) nanti.

Dana tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri Sabah, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika turun meninjau anak-anak buah Jean-Paul de Marigny berlatih di Stadium Likas, pada Rabu.

Pihak kementerian itu memaklumkan sumbangan khas itu sebagai tanda sokongan dan dorongan tambahan buat Sabah FC yang berhasil mara ke perlawanan akhir pertandingan kalah mati terbabit buat julung kalinya selepas 27 tahun.

Tinjauan oleh Nizam itu turut diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah, YB Datuk Ir. Shahelmey Yahya serta Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Asun.

Pada masa yang sama, ketua jurulatih skuad Sang Badak itu berkata Sabah FC berada pada tahap terbaik menjelang aksi penentu juara yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Jurulatih kelahiran Mauritius itu turut menggesa penyokong-penyokong Sabah FC yang berada semenanjung tanah air untuk memenuhi stadium bagi menyemarakkan lagi semangat juang para pemain pada hari perlawanan itu nanti.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Para pemain sudah bekerja keras dan mereka benar-benar layak menerima penghargaan ini.” 

“Apabila seseorang berjuang dan akhirnya diraikan, kejayaannya menjadi lebih manis. Kami akan memberikan segala-galanya demi Sabah,” katanya pada sesi latihan tersebut.

Untuk makluman, Sabah FC berhasil menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA selepas mengetepikan naib juara edisi lalu, Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan dengan skor 5-4 setelah terikat 3-3 secara agregat.

Featured Image: Facebook Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd