Sukan SEA: Skuad Badminton Lelaki Raih Perak, Kemarau Emas Berterusan

December 10, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Skuad badminton lelaki negara hanya meraih pingat perak dalam acara berpasukan apabila tewas 0-3 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Universiti Thammasat, hari ini.

Kekalahan itu bermula dengan perseorangan lelaki, Leong Jun Hao tewas dua berturut-turut di tangan pemain No.2 Indonesia, Alwi Farhan menerusi skor 12-21 dan 19-21 dalam masa 46 minit.

Pada pertarungan kedua, Indonesia meneruskan rentak kemenangan dan mendahului 2-0 apabila Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menghuni ranking kedua dunia dikejutkan oleh beregu No.8 dunia, Sabar Karyaman dan Reza Pahlevi.

Dalam pertarungan itu, Aaron-Wooi Yik juga tewas dua set berturut-turut menerusi skor 12-21 dan 12-21 dalam masa 34 minit – kekalahan ketiga di tangan Sabar-Reza daripada empat pertembungan di pelbagai kejohanan antarabangsa.

Pertarungan seterusnya, Justin Hoh menjadi taruhan Malaysia. Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun yang sedang meningkat naik itu dikejutkan pula oleh Moh Zaki Ubaidillah, penghuni tangga ke-48 dunia, juga dua set berturut-turut menerusi skor 12-21 dan 14-21 dalam masa 42 minit.

Kekalahan Justin itu mengesahkan gelaran juara buat Indonesia dalam acara badminton berpasukan lelaki di temasya Sukan SEA Thailand 2025 dan mempertahankan kejuaraan yang dijuarai mereka pada edisi lalu di Kemboja.

Manakala penantian Malaysia untuk meraih pingat emas dan bergelar juara dalam acara ini di Sukan SEA berpanjangan setelah merangkulnya buat kali terakhir di Manila pada tahun 2005.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd