Sukan SEA: Letshanaa, Ling Ching Ke Suku Akhir
Hafiz Omar

Dua perseorangan wanita negara, Letshanaa Karupathevan dan Wong Ling Ching bermula dengan langkah kanan dalam acara individu badminton Sukan SEA Thailand 2025.
Hasilnya, pemain berusia 23 tahun masing-masing itu berhasil mencetak kemaraan ke peringkat suku akhir dalam temasya dwitahunan berkenaan.
Letshanaa yang bertemu penghuni ranking 192 dunia dari Singapura, Yue Yann Jaslyn Hooi meraih kemenangan secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-17 dan 22-20 dalam masa 48 minit.

Kemenangan itu membawanya bertemu pemain Indonesia, Putri Kusuma Wardani untuk berentap merebut tiket ke separuh akhir.
Manakala Ling Ching yang berentap dengan Insyirah Khan, pemain Singapura yang berada di ranking 150 dunia, melakar kemenangan juga secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-16 dan 21-15 dalam masa 48 minit.
Pencabar seterusnya Ling Ching di suku akhir ialah pemain Indonesia yang berusia 19 tahun, Ni Kadek Dhinda Amartya Pratiwi.
Pemain muda yang menghuni ranking ke-82 dunia mara ke suku akhir selepas bertarung sengit menumpaskan Nguyen Thuy Linh yang berusia 28 tahun menerusi skor 16-21, 22-20 dan 21-14 dalam masa satu jam dan 13 minit.
Featured Image: BAM