Sukan SEA: Justin Iringi Jun Hao Ke Suku Akhir

December 11, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Dua pemain negara akan memeriahkan pentas suku akhir badminton acara individu bagi kategori perseorangan lelaki di Sukan SEA Thailand 2025.

Justin Hoh, 21 tahun, mengiringi Leong Jun Hao ke peringkat tersebut selepas melakar kemenangan yang mengejutkan pilihan ketiga, Jason Teh Jia Heng dari Singapura pada pusingan 16, sebentar tadi.

Dalam tersebut, Justin yang berada di ranking ke-38 dunia berhasil menumbangkan Jason secara dua set berturut-turut menerusi skor 22-20 dan 21-15 setelah bertarung sengit hampir satu jam lamanya.

Kemenangan itu membolehkannya membalas dendam terhadap kekalahan di tangan Jason ketika bertemu buat julung kalinya di Terbuka Jerman 2025 pada Februari lalu.

Berbalik kepada saingan di Sukan SEA, pencabar seterusnya buat Justin adalah wakil tuan rumah, Kantaphon Wangcharoen yang berada di ranking ke-55 dunia.

Wangcharoen mara selepas menundukkan pemain Myanmar, Hein Htut secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-10 dan 21-13 dalam masa 49 minit.

Berdasarkan rekod, Justin dan Wangcharoen pernah bertembung sebanyak dua kali setakat ini di Masters Korea 2024 dan Terbuka Macau 2025. Dua pertembungan itu berakhir dengan Wangcharoen dan Justin melakar satu kemenangan masing-masing.

Terdahulu, Jun Hao mencetak kemaraan ke peringkat suku akhir di Sukan SEA ini susulan menumbangkan Phichith Vixunnalath menerusi skor 21-15 dan 21-15.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd