Sukan SEA: Tang Jie-Ee Wei Mara, Pang Ron-Su Yin Kandas

December 12, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Pasangan No.3 dunia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menjadi wakil tunggal negara mara ke peringkat separuh akhir badminton acara individu kategori beregu campuran di Sukan SEA Thailand 2025.

Gandingan yang turut menjuarai Kejohanan Dunia BWF itu mara susulan mengalahkan wakil Singapura, Terry Hee Yong Kai dan Jin Yu Jia pada peringkat suku akhir, hari ini.

Pertarungan julung kalinya melibatkan kedua-dua pasangan itu berakhir dengan Tang Jie Ee-Wei mencetak kemenangan bergaya menerusi skor 21-12 dan 21-14 dalam masa 34 minit.

Kemaraan itu membawa mereka bertemu dengan beregu tuan rumah, Ruttanapak Oupthong dan Jhenicha Sudjaipraparat – penghuni ranking ke-13 dunia.

Terdahulu, pasangan terbabit mara selepas mengalahkan wakil Filipina, Julius Villabrille dan Andrea Princess Hernandez menerusi tiga permainan berskor 19-21, 21-10 dan 21-5 dalam masa 46 minit.

Berdasarkan rekod, Tang Jie-Ee Wei sudah pernah bertemu Rattanapak-Jhenicha sebanyak tiga kali setakat ini dan kesemuanya berakhir dengan kemenangan.

Sementara itu, sepasang lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin terpaksa akur mengakhiri kempen acara individu Sukan SEA edisi ini setakat suku akhir berikutan tewas di tangan beregu No.4 dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd